Cerpen!!
enjoy it!
selamat membaca!!
“Kenapa kau pukul adik kau? Kau tengok! Berdarah mulut dia,” tengking Mama.
“Bukan Awiz yang…” belum sempat Awiz menghabiskan kata-katanya, Mamanya menyampuk.
“Lepas ni, jangan kau mengada-ngada main dengan adik. Kau memang anak tak kenang budi! Aku bagi kau makan minum, pakaian. Cukup semua. Apa yang kau nak lagi? Pergi masuk belajar!” Marah Mama.
“Adik, abang Awiz belajar dulu ya. Nanti kita main lagi,” kata Awiz kepada satu-satu adiknya, Muadz.
‘Mama, bukan Awiz yang pukul adik. Adik yang terhentak kereta api itu dekat mukanya. Jadi terkena pada mulut adik. Awiz cuba nak tengok teruk atau tidak luka adik itu. Apabila Awiz pegang bibir adik, adik menangis sebab sakit. Awiz sayang adik. Tak kan lah Awiz sanggup buat adik macam itu,’ monolog Awiz.
Awiz masuk ke biliknya dan mengambil sebuah buku berwarna hitam. Buku itulah yang menjadi teman Awiz selepas kematian ibunya. Segala perasaan, suka duka hidupnya, Awiz titipkan dalam buku itu. Awiz memberi nama buku tersebut sempena nama ibunya, iaitu Qatrunnada yang bermaksud titisan embun. Apabila Awiz rindukan ibunya, Awiz akan membuka buku itu dan meluahkan rindunya itu dalam buku itu.
######################
Semalam Awiz mengajak Papanya bersiar-siar di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Awiz meminta Papanya memujuk Mama ikut sekali. Memang menjadi kebiasaan, apabila Awiz mengajak Papanya keluar, Mamanya pasti enggan mengikuti mereka. Malah, semasa Hari Bertemu Waris di sekolah Awiz pun Mama tidak pernah datang. Hanya Papa sahaja yang setia mendengar susah senang Awiz di sekolah. Bagi Mama, Awiz merupakan seorang budak nakal yang selalu menyusahkan.
Berkat pertolongan Papa, Awiz akan bersiar-siar bersama satu keluarganya. Buat pertama kalinya!
“Papa, jom pergi beli aiskrim di sana tu,” ajak Awiz.
“Jom!”
“Mama!” jerit Awiz.
Mama menoleh ke belakang.
“Apa jerit-jerit ni? Kau ingat aku pekak?”
Eeeeeeeeekkkkkk!!
“Mamaaaaa!”
Bunyi brek kecemasan itu memaksa Papa melihat ke arah bunyi tersebut. Empat batang aiskrim dipegangannya terlepas jatuh menyembah tanah. Tidak ada rezeki buat mereka untuk memamah aiskrim itu satu keluarga.
#####################
“Lina.”
Walaupun panggilannya tidak dijawab, dia tahu Lina masih mendengar setiap butir bicaranya.
“Suatu hari abang didatangi seorang anak kecil. Anak kecil itu menangis sambil merayu agar abang merawat ibunya. Abang kasihan melihat anak kecil itu. Jadi abang bersetuju merawat ibunya itu. Segala kos perubatan yang diperlukan itu, abang yang bayar. Abang merawat ibunya dengan baik. Walaupun abang tahu bahawa penyakit ibunya itu tidak akan sembuh. Kalau pun ibunya itu sembuh, sembuhnya itu hanya seketika. Penyakit Leukimia ibunya sudah ditahap kritikal. Setiap hari, anak kecil itu akan memberi makan dan minum ibunya. Mewudhukkan ibunya. Dan entah apa lagi yang dibuatnya demi ibu yang tersayang. Kemudian abang terfikir. Bagaimana agaknya kehidupan anak kecil itu nanti tika ibunya itu dijemput Ilahi? Bagaimana makannya? Tidurnya? Abang telah mengambil keputusan. Kahwin. Ya, kahwin! Abang berkahwin dengan ibunya. Abang menjaga isteri abang itu seperti abang jaga Lina. Apa sahaja yang Lina dapat, isteri abang itu juga akan dapat. Tiba masanya, isteri abang itu dijemput Ilahi,” cerita Papa.
Diam seketika. Papa menarik nafasnya.Hembus.
“Anak kecil itu sedikit pun tidak mengalirkan air matanya. Malah anak kecil itu tersenyum. Tersenyum puas. Kejamkah anak kecil itu? Tidak. Anak kecil itu puas. Puas kerana dia telah menjaga ibunya dengan baik. Puas kerana dia berada di sisi ibunya, saat Malaikat maut datang menjemput ibunya. Puas dapat membisikkan kata cinta dan sayangnya di telinga ibunya. Puas kerana dapat mendengar kalimah syahadah itu diucapkan oleh si ibu dengan tenang.”
“Dimanakah anak kecil itu kini?”
“Tapi kini, anak kecil itu juga telah mengikuti jejak ibunya.”
“Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Kenapa Lina tidak pernah tahu mengenai anak kecil itu? Boleh Lina jaganya.”
“Pernah tidak Lina terfikir, kenapa abang bawa Awiz ke rumah kita?”
“Awiz… Hanya tinggal kenangan. Bersalah saya dengan dia.Ketika dia berada di rumah kita, tidak ada sekelumit sayang dihati saya buat dia.”
“Muhammad Muawwiz..”
“Sudah lah bang. Benda dah jadi. Lupakan. Saya buatkan air untuk abang ya.”
Lina tahu. Hatinya tidak pernah menipu. Apabila menyebut nama Awiz sahaja, hatinya bergetar syahdu. Mutiara jernih itu pasti tumpah. Bukan untuk sesiapa. Tetapi untuk Awiz. Awiz seorang sahaja kini yang mampu membuat hatinya sebak. Sebelum ini, hatinya teramat ego. Tapi kini.. entah lah.
Sedang Lina rancak melayani perasaannya, suaminya datang. Cepat-cepat dia menyapu air matanya itu agar tidak disedari oleh suaminya.
“Buat apa awak sapu air mata awak tu. Biarkan. Biarkan ia mengalir bersama rasa bersalah awak tu agar hilang perasaan tu dari hati awak.”
Kata-kata suaminya itu membuatkan hatinya bertambah sebak. Lalu dipeluknya suaminya itu. Dibenamkan mukanya didada suaminya. Tenang seketika hatinya.
“Apa yang abang pegang itu?”
“Tidak ada apa-apa.”
Namun hati Lina begitu tertarik dengan buku tersebut. Lalu diambilnya buku itu.
#####################
“Awiz, pulanglah nak. Mama rindukan Awiz. Awiz tidak rindukan Mama? Mama janji. Mama janji akan jaga Awiz dengan baik lepas ini. Mama janji tidak akan pukul Awiz lagi. Mama janji!”
Tapi, janji hanya tinggal janji. Dan janji itu tidak akan pernah tertunai. Nasi kini sudah pun menjadi bubur.
“Sudah la tu Lina. Tidak ada perkara lagi yang perlu dikesalkan. Bagilah pada saya buku itu. Biar saya yang menyimpannya. Kalau buku tu ada pada awak, semakin menjadi-jadi tangisan awak tu. Sekarang ni, awak hanya perlu banyakkan sedekah buat arwah Al-Fatihah. Doakan agar arwah berada bersama orang-orang yang soleh.”
“Anak kecil itu… Awiz kan bang??”
“Sudah lah tu.”
“Abang, esok kita pergi ziarah pusara Awiz ya bang. Awiz dan isteri abang, ibu Awiz”
“Ya lah.”
Buku ditangan Lina diambilnya. Disimpannya di dalam laci. Tidak ada sesiapa yang akan membukanya dan menyambung catatan harian di dalam buku itu lagi. Qatrunnada.
###################
Sebelum Papa menziarahi pusara Awiz bersama Mama dan Muadz, sempat Papa menitipkan rasa hatinya di blognya.
‘Sayang, apakah kamu mendengarkan Papa? Ya. Papa pasti kamu mendengarkan Papa. Kirimkan salam Papa pada ibu ya nak. Sayang, hatimu begitu mulia. Tidak pernah ada sebesar zarah pun kebenciaanmu terhadap Mamamu. Walaupun Mama banyak menyakitkan hatimu. Tetapi kau buang perasaan jahat itu agar tidak menodai kasihmu terhadapnya. Malah kau sanggup mengorbankan nyawamu sendiri demi menyelamatkan Mama yang tersayang. Kau tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah dengan kehilangan ibumu. Dalam pada itu, Papa tahu kau memikirkan adikmu. Kau tidak mahu adikmu menjadi sepertimu. Tidak punya ibu. Sayang, dirimu akan Papa ingat sentiasa. Tunggu Papa ya sayang.’
#################
Wassalam ^_~